There is no God save Allah, Muhammad is the Messenger of God, in every blink of the eye and in every breath, to the number that only God's knowledge can comprehend. www.ahmadiah-idrisiah.com

Saturday, October 11, 2008

Tatu di kalangan Masyarakat Melayu Singapura.

Terlihat anak-anak muda bangsa kita berjalan-jalan dan bersembang-sembang di Orchard Road, alangkah kecewanya hati ketika itu. Terlihat juga dengan jelas, reaksi orang kita yang lain, ada daripada mereka bersungguh-sungguh menggelengkan kepala, dan ada juga yang hanya dapat menundukkan kepala, dek rasa malu di hadapan orang-orang yang berbangsa dan beragama lain.

Susungguhnya, penghulu kita telah bersabda bahawa orang yang bertatu dan orang yang melukis tatu kedua-duanya dilaknat.

Tapi, apakah maksudnya kepada kita? Adakah yang berhak melaknat itu diri kita sendiri, yang juga merupakan manusia yang dhaif? Ataukah ia milik Allah Yang Maha Sempurna? Ternyata, jawapannya begitu jelas sekali, tiada syak pada kebenarannya, yang hanya berhak melaknat adalah Allah.

Oleh kerana itu, jauhkan lah hati kita ini dariada membenci, menghina atau mengutuk orang-orang sedemikian. Yang boleh di sisi Syarak adalah membenci perbuatan yang dilarang itu, bukan membenci pembuatnya. Pelajaran yang sebegini dapat kita perolehi dari beberapa kisah teladan, demi menjaga kebersihan hati kita, kerana sesungguhnya, di akhirat nanti, yang lebih dilihat adalah kebersihan hati, lebih daripada apa-apa amalan zahiri sekali pun.

Seorang sahabat, pada zaman baginda SAW, masih meneruskan meminum arak, walaupun larangan jelas telah diwahyukan, beliau kemudiannya dipukul oleh sahabat-sahabat yang lain, kerana masih fasiq melakukan dosa besar, tetapi, ketika itu juga, baginda SAW menahan sahabat-sahabat yang lain seraya berkata “sesungguhnya hatinya(sahabat yang meminum arak) masih mencintai Allah dan RasulNya.”
Kesemua sahabat terpegun dan tidak lagi berani membantai lelaki itu, kerana suatu kenyataan tentang rasa kasih telah dikeluarkan oleh baginda; agaknya gementar hati para sahabat yang lain itu.

Janganlah kita membenci atau menghina orang yang berbuat dosa, sebaliknya hendaklah kita menegur, bolehlah dengan tegas dan memadailah jika ia hanya merupakan nasihat. Selemah-lemah iman ialah membenci kemunkaran di hati. Bolehlah juga kita berdoa agar mereka yang berkenaan diberi hidayah dengan segera.

Dikhuatiri jika kita membenci mereka, akan terlahir di dalam hati sanubari perasaan lebih mulia daripada si pendosa, dengan itu, hati kita pula yang akan dikotori atau 'ditatu' pula dengan penyakit-penyakit hati seperti riya’ dan sombong. Baginda telah memberi amaran keras terhadap perasaan riya’ atau sombong, dengan kekatanya yang membawa maksud lebih kurang seperti ini “riya itu syirik yang tersembunyi”dan ”sesiapa yang menyimpan sifat sombong ,meskipun sebesar biji zarrah di dalam hatinya, tidak akan masuk syurga”.

Shah Bahauddin Naqshaband(q), pernah pada satu ketika, ketika beliau sedang berjalan dengan beberapa muridnya, berhenti hanya untuk memberi laluan kepada seekor anjing. Beliau pun disoal oleh muridnya akan perbuatannya tadi yang agak aneh, memandangkan anjing itu binatang najis mughallazah. Jawab beliau, “anjing itu lebih mulia daripada diriku.” Apakah yang dapat kita fahamkan daripada kisah ini? Janganlah kita ukur seseorang itu dengan melihat kotoran ataupun dosa-dosa ynag zahir, kerana dosa-dosa yang bersifat batin itu lebih berat.

Maka di sini, muncullah Syaitan dan segala anak-pinaknya, membisik di hati agar jangan “hiraukan” dosa-dosa luaran atau dosa-dosa zahir, katanya yang penting hati itu baik.
Janganlah pula kita layankan bisikan sedemikian, memang bisikan Syaitan itu halus dan sedap didengar. Sebaik-baiknya, jika kita tahu dan sedar bahawa diri kita ini melakukan maksiat atas mengambil kesempatan sifat Pemurah Ilahi, atau kenyataan bahawa kesucian hati itu lebih berharga, maka segeralah tinggalkan perkara itu dan malulah sendiri atas keterlanjuran itu!

Sesungguhnya malu itu sebahagian daripada iman.

Sidi Ahmad Ibn Idris(q), di dalam tulisannya yang ringkas berjudul Risalah Qawaid, telah melakarkan empat kaedah bagi memastikan keredhaan Tuhan itu dapat dikecapi. Kaedah yang pertama ialah: Hendaklah seseorang itu menyoal dirinya akan sesuatu perbuatan yang bakal dilakukannya, jika ia pasti akan dapat menjawap bagi perbuatan itu di hari akhirat, maka bolehlah ia teruskannya, jika sebaliknya maka lebih mulia perbuatan itu ditinggalkan.

Nafs itu tidak dapat menipu dirinya sendiri, dan ia juga tidak akan dapat menipu Allah.
Jika Nafs itu dapat menipu dirinya sendiri, maka tidak akan tsabitlah dosa kepada sesiapapun!
Bukankah Allah seadil-adil Hakim?

Mudah-mudahan peringatan ini abadi buat yang terpaling sekali diriku!

Memanglah bukan halwa telinga untuk mendengar si berbangsa lain mengatakan tentang keburukan perbuatan sesetengah daripada bangsa kita, justeru itu, kita hendaklah mempunyai kesedaran tentang sebenar-benarnya keburukan perkara yang dilarang Syariah, sehinggakan orang yang bukan beragama Islam juga mengutuk perbuatan sedemikan. Tak malukah?

No comments: